.Assalamualaikum.
“Ya Allah, beratnya ujian ini!”
“Sampai bila aku harus diuji begini?”
“Kenapa mesti aku diuji, bukan orang lain yang
diuji?”
Sejak akhir-akhir ini aku selalu diuji dengan ujian
yang tidak pernah diduga. Kadang-kadang ianya datang ketika aku bergembira.
Datangnya juga ia kadang-kadang membuat aku menderita. Ujian yang tidak pernah
kenal erti ‘tuan’ mahupun ‘hamba’, kerana semuanya telah pun ditulis diatas
sana, apa yang sedang dan akan terjadi kepada insan yang bernama manusia.
Hidup ini seperti roda, kadang-kadang kita kuat
diatas sana, tetapi kadang-kadang kita lemah jatuh kebawah.
Apabila diuji dengan kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan… terdetiklah rasa, “apakah Tuhan sayangkan aku? Kenapa aku diuji sebegini berat sekali? ” Subhanallah…
Apabila ujian kesakitan, perpisahan, kegagalan,
kemiskinan datang bertimpa-timpa, terdetik juga kata di dalam hati, “apakah
Tuhan masih sayangkan aku? Kenapa aku diuji seberat dan sekerap begini? ”
Subhanallah, tanpa disedari seolah-olah kita sudah mempersoalkan kuasa Tuhan,
padahal kita hanyalah hambaNya. Hamba tidak berhak menyoal, sebaliknya akan
disoal. Namun, itulah kelemahan manusia. Kita sering alpa dan terlupa.
Paling malang, manusia kerap terlupa bahawa
dirinya hamba. Terutamanya ketika diuji. Sebab itu Allah mengajar kita agar
mengucapkan kalimah ‘istirja’ setiap kali diuji… Innalillah wa inna ilahihi
rajiun, yang ertinya, “kami ini milik Allah, kepadaNya kami akan
dikembalikan.” Ya, inilah kalimah yang mengingatkan bahawa kita ini
milik Tuhan, Tuhan layak menguji kita dan kita layak diuji. Jangan sekali-kali
menolak apalagi ‘mengamuk’ apabila diuji. Kita hanya hamba…
Namun untuk meringankan kepedihan ujian yang
menimpa, hendak kita mengenal Allah yang memberi ujian itu. Kenallah sifat
ilmu, kasih-akung dan belas ihsan Allah yang Maha hebat. Sebagai hamba ilmu
kita terbatas, ilmu Allah yang Maha Luas. Kasih akung kita cuma seraut, kasih akung
Allah selaut. Orang yang mengenal Allah, akan mencintaiNya. Bila sudah cinta,
kuranglah derita diuji. Bukankah cinta itu buta?
Orang yang mengenal kasih-akung Allah punya
keyakinan bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang
terbaik. Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang, tidak akan memberi sesuatu
yang buruk untuk hamba-Nya. Justeru, hamba yang baik tidak akan berburuk sangka
terhadap Allah dengan merasakan apa yang ditakdirkanNya (ujian) itu ialah
sesuatu yang tidak baik.
Yakinlah bahawa semua ketentuan Allah itu adalah
baik. Ujian itu pasti ada kemuslihatan yang tersembunyi untuk setiap kita.
Pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik, cuma kita tidak atau belum
mengetahuinya. Bila berlaku nanti, barulah kita tersedar, ya Allah mujur Kau
takdirkan begitu. Kata arifbillah (orang yang mengenal Allah), “sekiranya
kita merasakan kasih akung Allah itu terpisah apabila DIA menguji kita, itu
petanda tumpulnya akal, butanya mata hati.”
Diantara hikmah ujian, seseorang akan dapat
menambah tumpuan dan tujuannya untuk menjadi hamba Allah. Yang mana selama ini,
jalan itu disekat oleh hawa nafsu. Sebab ujian bertentangan dengan
kehendak, keinginan nafsu dan syahwat manusia. Nafsu yang buas dan liar untuk
melakukan maksiat itu tidak suka pada sakit, rugi, miskin dan lail-lain. Lalu
apabila diuji, nafsu itulah yang terdesak, tidak senang dan ingin segera
terlepas daripada ujian itu.
Jadi, apabila nafsu terdesak, hati akan dan akal
terbuka. Inilah jalan kebaikan, kerana ajakan untuk melakukan kejahatan akan
turut tertahan, kerana nafsu itu sangat mengajak pada kejahatan. Ujian itu
sesugguhnya akan melemahkankan nafsu, menghilangkan kekuatannya serta batalkan
kudratnya. Bila nafsu lemah, manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa – mengejar
keseronokan dunia sehingga melupakan batasan syariat.
Ujian juga menimbulkan rasa taat kepada Allah.
Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan
tawakal, kerana Qada dan Qadar-Nya mesti berlaku. Manusia akan lebih dekat
dengan agama, kepentingan akhirat, cinta kepada Allah. Hikmah ini walaupun
sebesar zarah tetapi apabila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal
lahiriah walaupun sebesar gunung. Inilah kebaikan di sebalik kepahitan ujian.
Justeru, Allah berfirman:
“…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan
sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.”
(Surah Al Baqarah : 216).
Dengan ujian juga, Allah ‘membersihkan’ kotoran
hati manusia. Ujian itu menghapuskan dosa dan kesalahan terhadap Allah seperti
bahan pencuci membersihkan kain yang kotor. Nabi Isa pernah berkata, “belum
dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan
penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.”
Bila kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal
Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dan membersihkan
dosa-dosa kita. Ya, seolah-olah orang yang yang benci diuji itu tidak suka
dibersihkan daripada dosa-dosa atau apakah dia merasa tidak berdosa?
Sebaliknya, apabila kita gembira (menerima dengan baik) ujian itu, kerana
yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga daripada Allah. Kita bukan sahaja
berikhtiar (berusaha) untuk menghilangnya tetapi juga berusaha untuk
mendapatkan hikmahnya.
Rasulullah SAW bersabda, “barang siapa yang dikehendaki
Allah pada orang itu kebaikan, maka Allah akan cuba dengan ujian-Nya.”
Jadi, bila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana
tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Orang soleh bila diuji,
hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.Tapi bagi anti diuji,
tidak akan dapat melihat hikmah kerana akal dan hatinya melihat sesuatu
hanya selari dengan hawa nafsunya sahaja.
Ingatan para hamba kepada Allah akan bertambah
dengan ujian-Nya. Itu petanda Allah pilih dia untuk diuji. Dan bila diuji,
bertambah pulalah ingatan hamba Allah kepada Allah. (Oh… Allah ingat lagi
padaku). Oleh itu, tiada jalan keluar melainkan lakukanlah tiga langkah ini
apabila kita diuji:
I) Kuatkan iman, pupuk kesabaran, mantapkan
keyakinan menghadapi ujian itu dengan segera mendekatkan diri kepada Allah.
Apabila Rasulullah SAW ditimpa masalah, baginda akan terus bangun mendirikan
solat dua rakaat. Baginda tidak melihat masalah yang besar tetapi cepat-cepat
merujuk kepada Pemberinya – Allah Maha Besar. Masalah kita mungkin besar tetapi
Allah yang memberinya jauh lebih besar. Justeru, segeralah ‘mencari’ Allah
sebelum mencari yang lain-lain apabila ditimpa ujian.
II) Cuba serapkan rasa di dalam hati Kehendak
(pilihan) Allah mengandungi hikmah yang baik jika diterima penuh keinsafan dan
kesabaran. Yang penting apa yang berlaku ‘di dalam hati’ kita, bukan apa yang
berlaku diluar diri kita. Allah berikan yang pahit, jadikan ubat. Allah berikan
yang pedih, anggaplah itu pembedahan jiwa untuk mengeluarkan penyakit-penyakit
hati kita. Ya, jika limau yang kita dapat masam… buatlah air limau, kata orang
yang bijaksana.
III) Berbaik sangka dengan Allah dengan cara
menyedari (mencari) hikmah. Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk kita.
Bila baik sangka kepada Allah, maka kita akan bertambah hampir kepada-Nya.
Apabila hampir kepadanya… insyaAllah semuanya akan baik-baik belaka. Bukankah
DIA Tuhan yang Maha Baik?
Ya, Allah timpakan ujian yang besar, untuk ‘membesarkan’
kita. Ingat itu. Justeru, ahli yang bijaksana sering berkata…Pemimpin yang
besar itu dikenali melalui ujian yang dihadapinya. Semakin besar tahap
kepimpinannya, maka semakin besarlah ujian yang Tuhan sediakan untuk
‘membesarkan’ lagi pengaruh kepimpinannya.
Dan setiap kita adalah pemimpin… sekurang-kurang
pemimpin buat diri sendiri. Jadi, kita pasti diuji! Justeru apabila diuji
jangan katakan, “apakah aku tersisih?” Sebaliknya, katakan, “aku
sudah terpilih!”
“Terima
kasih Ya Allah kerana sesungguhnya Engkau masih sayang lagi kepadaku. Semoga
dengan ujian ini Engkau ampunkanlah segala dosa-dosaku yang lalu.”
No comments:
Post a Comment